Azizi Ahmad Education Pages

Blog

Banyak kerenah di IPG?

Posted by Azizi Ahmad on February 1, 2012 at 7:30 AM

Walaupun IPGK dinaikkan ke taraf universiti, amalan mementingkan populariti, urusan remeh-temeh, kerenah birokrasi terus menjadi tonggak pentadbiran.


Setiap aktiviti perlu dihadiri oleh semua pelajar dan pensyarah, sedangkan aktiviti itu tiada kaitan. Ini menyebabkan berlaku pembaziran masa dan tenaga. Pelajar yang tidak hadir akan dileteri dan pensyarah pula diminta beri surat tunjuk sebab.


IPGK juga kerap menganjurkan perhimpunan dan setiap perhimpunan itu wajib dihadiri oleh pelajar dan pensyarah. Kerap kali terjadi perhimpunan diadakan sehingga dua atau tiga kali sehari. Akibatnya, sesi pengajaran dan pembelajaran terpaksa dibatalkan.


Sepanjang pemerhatian saya, pihak pentadbir IPGK tidak mengutamakan akademik baik aktiviti pelajar mahupun pensyarah, dan kepakaran bidang. Jika anda membuat kajian, anda akan temui pensyarah yang pakar dalam Jabatan A ditempatkan atau disuruh mengajar di Jabatan B. Akibatnya, pelajar akan menjadi mangsa kerana pensyarah berkenaan tidak dapat menyampaikan ilmu dengan baik.


Di samping itu, pensyarah IPGK juga dibebankan dengan urusan birokrasi daripada IPGM. Misalnya, bebanan tugas pengurusan pihak pentadbir atau mengisi maklumat sama dalam pelbagai borang.


Satu hal yang malang ialah sikap pentadbir IPGK dan IPGM yang tidak mempedulikan kebajikan pensyarah. Misalnya, semua pensyarah dilonggokkan dalam satu bilik dengan meja kerja yang kecil dan kemudahan yang terhad.


Di situlah tempat pensyarah bekerja dan menyimpan tugasan pelajar. Kalau anda mengunjungi bilik kerja pensyarah, suasananya tidak ubah seperti stor tempat menyimpan barangan terpakai.


Semoga teguran ini diterima dan mendapat maklum balas sesuai dengan cita-cita IPG mahu bertaraf dunia.




Categories: None

Post a Comment

Oops!

Oops, you forgot something.

Oops!

The words you entered did not match the given text. Please try again.

Already a member? Sign In

0 Comments