Molek dilayari
mengunakan Internet Explorer 800 x 600
PENULISAN REFLEKSI
Refleksi merupakan
proses pemikiran yang aktif dan dilaksanakan secara sedar untuk
membolehkan seseorang menyelesaikan masalah dan memahaminya secara
lebih bermakna. Amalan pemikiran dan penulisan reflektif ini
penting bagi menyediakan pelajar menjadi pengamal refleksi demi meningkatkan
perkembangan kognitif dalam profesion perguruan (Oja, 1990; Watson,
1995 dan Senne, 1997). Amalan ini melibatkan
pelajar dalam satu kitaran pemikiran
dan tindakan berdasarkan pengalamannya ke arah
meningkatkan kompetensi diri sebagai seorang
pendidik.
Konsep Refleksi
Konsep refleksi mengikut beberapa orang tokoh dihuraikan
seperti berikut:
“Reflective
thought is the active, careful and persistent examination
of any belief, or purported form of
knowledge, in the light of grounds
that support it and the further conclusions
toward which it tend”.
(Dewey, 1975)
“Reflection is a process of reviewing
an experience of practice in
order to describe, analyse,
evaluate and so inform learning about
practice”.
(Reid, 1993)
“Proses merenung, menganalisis, mencari alasan, membuat
cadangan dan tindakan untuk memperbaiki diri yang dilakukan
secara berterusan.
Refleksi kritikal menitikberatkan penerokaan domain afektif,
kerohanian dan pemikiran rasional oleh seseorang dalam tindakannya
untuk mencari kebenaran terhadap tindakannya
bagi tujuan memperbaiki diri dan persekitaran”. (Hanifah,
1999)
“Reflection
in the teaching context refers to the process of inquiring
any habit/behavior critically and
continuously refining it”. Knowles, J.G., Cole,A.L. &Presswood, C.S.
(1994)
Sebagai rumusan, dapatlah dikatakan refleksi adalah suatu proses berfikir
secara aktif dan penuh sedar dalam membuat pemeriksaan dan penilaian terhadap sesuatu kepercayaan atau pegangan diri, meneroka kekuatan dan kelemahan diri serta
mencari kebenaran dalam tindakan atau amalan untuk
memperbaiki diri
sendiri. Refleksi juga dapat dilihat sebagai suatu respons
pemikiran terhadap
pengalaman dalam amalan seseorang untuk mendapatkan makna dan kefahaman
yang mendalam mengenai amalan itu bagi tujuan mengambil tindakan
untuk memperbaiki dan meningkatkan kualiti amalan diri.
Objektif Refleksi
Dalam pelaksanaan
KKBI, penulisan refleksi bertujuan untuk membantu
guru pelatih:
(a) membentuk sikap
keterbukaan minda dan kemahiran berfikir serta menaakul dalam usaha
meningkatkan kualiti diri dan profesion perguruan.
(b) melihat sesuatu
isu atau permasalahan secara mendalam serta kesediaan untuk
menyoal, menilai dan mengkritik diri sendiri.
(c) menggunakan ilmu
yang diperoleh (received knowledge) dan ilmu daripada pengalaman
lampau (previous
experiential knowledge) untuk mengingat, merenung kembali aktiviti pendidikan
yang dialaminya serta
menganalisis dan menilai kesannya.
(d) menyelesaikan
sesuatu masalah yang berlaku dalam konteks sosial yang melibatkan
dirinya sendiri dan cara penyelesaian itu diperoleh
daripada pengalaman pelajar itu sendiri.
(e) Membina pemikiran sendiri
(independent thought).
Model Refleksi
Terdapat banyak model yang boleh digunakan sebagai panduan untuk menulis refleksi. Antara model refleksi yang kerap dirujuk dalam membuat refleksi ialah model Schon (1987).

Model Refleksi Schon
Mengikut Schon (1987) refleksi boleh berlaku ketika kita berada dalam situasi berkenaan (reflection-in
action) atau mengingat kembali situasi yang telah berlaku (reflection-on action).
Refleksi yang dilakukan semasa menghadapi sesuatu masalah (reflection-in action) melibatkan proses membentuk semula tindakannya secara sedar dan berterusan dalam mencari suatu cara penyelesaian.
Refleksi ke atas pengalaman pula merujuk kepada proses menilai semula bagaimana kefahaman ketika melakukan tindakan berkenaan (knowing-in-action) telah memberi kesan yang tidak dijangka ke atas penyelesaian masalah yang dihadapi.
Refleksi adalah satu
proses yang dinamik. Lazimnya pemikiran reflektif terhadap
sesuatu pengalaman akan bermula dengan meneroka,
memahami dan menilai
keberkesanan sesuatu amalan atau tindakannya dalam mencapai
sesuatu objektif. Fokus proses berfikir pada peringkat ini untuk menilai sejauh
mana kemahiran dan strategi yang digunakan sesuai dan berkesan.
Pada tahap seterusnya,
pengamal refleksi akan mengaitkan kesan
sesuatu tindakan
atau amalannya kepada konteks atau situasi. Pemikiran pada peringkat ini
lebih mencabar kerana pengamal perlu menilai situasi berkenaan dan
memikirkan kesesuaian sesuatu tindakan atau amalan itu
berdasarkan konteks
dan situasi berkenaan, keterampilan diri dan
bagaimana merapatkan
jurang antara teori dan realiti. Aspek kreativiti dan inovasi menjadi
sebahagian yang penting dalam proses refleksi ini.
Pada peringkat
refleksi yang lebih tinggi, pengamal refleksi akan mengaitkan amalannya
dengan aspek-aspek moral, nilai dan etika. Pemikiran emosional
(emotional minds)
digembleng bagi
memberi makna dan mengaitkan
peristiwa yang dialami dengan nilai-nilai moral, ketuhanan, falsafah, sosial
dan politik. Pada peringkat ini juga, seseorang akan menanyakan apakah makna
peristiwa tersebut ke atas dirinya dan kaitan dengan peranannya sebagai seorang
pendidik.
Dengan kesedaran dan
pembentukan perspektif baru daripada pengalaman ini dan kaitannya dengan aspek ketuhanan,
nilai, moral dan etika akan menggerakkan kesediaan seseorang untuk bertindak
dan melakukan perubahan.
Proses Penulisan Refleksi
Untuk memudahkan
pelajar membuat penulisan refleksi dengan lebih
sistematik, berikut
adalah satu cadangan pemetaan proses pemikiran dan
penulisan refleksi.

Berikut adalah
contoh refleksi yang ditulis oleh seorang pelajar pada akhir
tugasan kerja kursus
Ilmu Pendidikan berdasarkan tajuk kerja kursus pendek
seperti di bawah.
Tajuk Kerja Kursus Pendek :
Peranan Guru Dalam
Pengurusan Bilik Darjah.
Soalan Tugasan :
Guru yang tidak mahir
mengurus kelas tidak akan berjaya dalam proses
pengajaran dan pembelajaran yang dikendalikannya.
Berdasarkan
pernyataan di atas, buat satu pemerhatian dalam sebuah kelas prasekolah yang anda
pilih tentang :
(a) aspek pengurusan
bilik darjah iaitu perancangan, pengelolaan, pengawalan dan
arahan.
(b) kesan kemahiran
mengurus bilik darjah kepada proses pengajaran dan pembelajaran.
Berdasarkan
pemerhatian tersebut, tulis satu refleksi mengenai amalan
pengurusan bilik
darjah guru berkenaan dan kesannya ke atas proses
pengajaran dan pembelajaran.

